Pelajar Tahfiz, Adik Mohd Thaqif Meninggal Dunia


Pelajar sebuah madrasah tahfiz swasta di Johor Bahru, yang dipercayai dipukul oleh seorang pembantu warden dilaporkan meninggal dunia ketika dibacakan Yasin hari ini.

Memetik kenyataan bapanya, Mohd Gaddafi Mat Karim, Bernama melaporkan, keadaan pelajar berusia 11 tahun itu sedang tenat.

"Mohamad Thaqif Amin yang tenat meninggal dunia ketika kami sekeluarga sedang membacakan surah Yasin kepadanya," lapor agensi berita itu.

Beberapa media melaporkan Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang dijadual menjalani pembedahan tangan pagi ini tetapi ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya dilapor berada dalam keadaan tidak stabil.

Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, pada jam 2.05 petang tadi.

Mohd Gaddafi, 43, berkata beliau berharap semua pihak mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

"Saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik ke atas anak saya, mendoakannya menjadi anak yang soleh," katanya.

Mohd Gaddafi yang adalah bekas pemain bola sepak Selangor berkata beliau sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiganya daripada lima beradik itu.

Beliau berkata jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi untuk dikebumikan di tanah perkuburan Felda berkenaan selepas bedah siasat selesai.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan tidak putus-putus berdoa terhadap kejadian yang menimpa anaknya.

Mohamad Thaqif Amin pada mulanya dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Rabu lalu susulan dipukul oleh pembantu warden asrama madrasah itu yang berusia 29 tahun.

Semalam, keluarga Mohamad Thaqif memaklumkan tangan kanan pelajar itu mungkin terpaksa dipotong pagi ini kerana sudah bertukar hitam hingga ke paras siku.

Jumaat lalu, kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong.
Sementara itu, portal Berita Harian Online memetik Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Komisioner Rahmat Othman, sebagai berkata, Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan perintah reman ke atas pembantu madrasah tahfiz itu dilanjutkan sehingga Sabtu ini.

"Permohonan melanjutkan penahanan reman diluluskan tiga hari dari esok sehingga Sabtu ini oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi pagi tadi," katanya.

Ahad lalu, Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan polis menahan reman pembantu madrasah tahfiz sehingga esok bagi membantu siasatan kes pukul Mohamad Thaqif. - Malaysia Kini