BEBERAPA bulan lalu, pelakon dan pengacara, Yasmin Hani pernah dikecam gara-gara beberapa keping gambar suaminya, Sha'arin Razali melukis inai di lengan ketika bercuti ke Bali.
Pun begitu, isu itu kembali reda setelah Hani atau nama sebenarnya, Yasmin Hani Richardson, 34, memohon maaf di atas kesilapannya itu.
Namun, beberapa hari lalu, gambar perut Hani yang dilukis cantik menjadi tatapan di laman sosial setelah gambar itu tersebar.
Gambar yang menampakkan bahagian perut Hani dilukis dengan simbol dedaun dan pokok itu mendapat kritikan daripada peminat yang mempersoalkan tindakan pelakon itu.
Ketika dihubungi Zass, Hani mengakui gambar itu bukanlah untuk tatapan umum.
“Sebenarnya, gambar itu adalah koleksi peribadi saya dan saya tidak pernah memuat naik gambar itu di laman sosial.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana gambar itu boleh tersebar dan menjadi tatapan umum di internet.
“Saya lakukannya untuk tujuan suka-suka sahaja dan lukisan itu dihasilkan oleh anak saudara perempuan saya,” katanya yang kini sedang hamil 32 minggu.
Akui tertekan dengan situasi yang berlaku, Hani berkata, dia sendiri merasa terganggu dengan perkara ini.
“Saya sangat tertekan dengan perkara ini, maklumlah saya kini sedang hamil dan bakal bersalin tidak lama lagi.
“Saya berharap agar peminat dan masyarakat di luar tidak terus menyalahkan saya dalam hal ini.
“Saya malas nak ambil pusing mengenainya kerana ia akan memberi kesan buruk kepada saya dan kandungan,” katanya sedih.
Rahsia jantina anak
Kini, hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk Hani dan Sha'arin menyambut kehadiran orang baru.
Di usia 32 minggu, Hani memberitahu, dia telah pun menyediakan beberapa kelengkapan untuk cahaya mata pertamanya itu.
“Kami sudah pun menyediakan kelengkapan bayi memandangkan masanya semakin tiba.
“Dalam pada itu, saya telah menjalani ujian imbasan untuk mengetahui jantina dan keadaan bayi di dalam kandungan.
“Setakat ini, semuanya baik-baik sahaja dan saya telah mengetahui jantina. Namun, buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia.
“Apa yang penting, bayi saya sihat dan dalam keadaan yang baik,” katanya. - Sinar Harian