Mangsa Ragut Maut
Wanita Pergi Kerja Mati
JOHOR BAHRU: Seorang tukang cuci maut apabila tiga lelaki yang menunggang motosikal menghimpit motosikal diboncengnya dalam satu cubaan meragut di Jalan Skudai-Jalan Tun Razak di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, R Alamelu, 52, mati di tempat kejadian selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang adik iparnya, D Ganesh, 36.
Ketika kejadian, Ganesh dalam perjalanan menghantar mangsa ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Ibrahim untuk berjumpa suaminya yang menaiki kenderaan berasingan sebelum mereka bersama-sama ke Singapura untuk bekerja.
Difahamkan, Ganesh menyedari diekori sekumpulan lelaki dipercayai warga asing sebelum membelok ke stesen minyak di Jalan Padi, Bandar Baru Uda.
Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki itu terus menghimpit motosikal ditunggangnya sebelum seorang daripada mereka cuba menarik beg pinggang dipakai mangsa.
Tindakan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya menyebabkan ketiga-tiga lelaki terbabit melarikan diri tanpa dapat meragut beg pinggang mangsa.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Kamil, 30-an berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya menyebabkan pengguna jalan raya lain memperlahankan kenderaan.
“Pada awalnya saya menyangka ia hanya kemalangan biasa. Bagaimanapun, saya hanya mengetahui ia cubaan ragut selepas dimaklumkan mangsa. Ada pengguna jalan raya cuba mengejar tiga peragut itu tapi gagal,” katanya.
Menurut Kamil, pada waktu puncak, dianggarkan lebih 30,000 penunggang motosikal akan ke Tambak Johor melalui Jalan Skudai dan ketika itulah ada di kalangan peragut mengambil kesempatan menjalankan kegiatan.
“Kami berharap polis mengambil perhatian berkaitan perkara ini dan lebih kerap mengadakan sekatan jalan serta rondaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kes berkenaan benar-benar membabitkan kejadian ragut.
“Berdasarkan siasatan awal, barangan milik mangsa gagal dilarikan penjenayah, ada kemungkinan mangsa maut akibat serangan jantung.
“Polis akan mengambil keterangan dan menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kejadian. Mayat mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Sultan Ibrahim (HSI) untuk bedah siasat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan.
1) Komen yang tidak berkaitan dengan artikel yang dipaparkan akan dibuang serta merta.
2) Komen yang bersifat Kutukan, Kritikan, Cacian, Mencarut akan dibuang.
3) Komen yang mengandungi SPAM akan dibuang.
4).1 Penggunaan ANONYMOUS akan dijejak melalui IP ADDRESS
4).2 Komen dari fungsi ANONYMOUS yang bersifat PROVOKSI terhadap blog ini akan dibuang serta merta.
4).3 Pertanyaan & Komen yang diberikan oleh pengguna berstatus "anonymous" kepada admin, tidak akan dilayan, sila sign in GMAIL atau hubungi kami melalui facebook.
4).4 Kami berhak memadam komen-komen yang bersifat provok keatas blog ini lebih-lebih lagi komen dari pengguna ANONYMOUS