Mayat Berasap


AMPANG: Seorang wanita dipercayai warga Belgium ditemui rentung berhampiran keretanya di bahu jalan berhampiran rumah pam milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Menara Mutiara, Ampang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan dengan rentung hampir 90 peratus.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa dijumpai kakitangan Syabas yang kebetulan datang ke rumah pam berkenaan bagi memeriksa tahap tekanan air sebelum menghubungi polis.


“Kakitangan itu curiga selepas melihat ada sebuah kenderaan jip jenis Suzuki di bahu jalan berhampiran rumah pam itu sedangkan kawasan ini adalah agak sunyi dan berhampiran hutan.


“Dia cuba mendekati jip terbabit dan terkejut sejurus melihat satu mayat dalam keadaan rentung dan masih berasap dipercayai baru dibakar,” katanya.


Katanya, hasil siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran jip itu mendapati ia milik seorang wanita warga Belgium berusia 40-an.


Polis tidak menolak kemungkinan mayat yang rentung itu adalah wanita berkenaan.


“Bagaimanapun, kita (polis) masih mengesan pemilik jip terbabit. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.


“Melalui pemeriksaan anggota forensik, dipercayai mangsa dipengsankan atau dibunuh sebelum dibakar. Mangsa kemungkinan dibakar antara jam 9 pagi dan 3.30 petang,” katanya ketika ditemui di sini.


Polis turut menemui satu pemetik api dan sebotol mineral yang dipercayai diisi minyak tanah berhampiran kawasan mayat mangsa ditemui. -MyMetro

1 Komen :

1) Komen yang tidak berkaitan dengan artikel yang dipaparkan akan dibuang serta merta.
2) Komen yang bersifat Kutukan, Kritikan, Cacian, Mencarut akan dibuang.
3) Komen yang mengandungi SPAM akan dibuang.
4).1 Penggunaan ANONYMOUS akan dijejak melalui IP ADDRESS
4).2 Komen dari fungsi ANONYMOUS yang bersifat PROVOKSI terhadap blog ini akan dibuang serta merta.
4).3 Pertanyaan & Komen yang diberikan oleh pengguna berstatus "anonymous" kepada admin, tidak akan dilayan, sila sign in GMAIL atau hubungi kami melalui facebook.
4).4 Kami berhak memadam komen-komen yang bersifat provok keatas blog ini lebih-lebih lagi komen dari pengguna ANONYMOUS