KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Pindaan ke atas Akta Jualan Langsung 1993 dijangka akan meningkatkan keyakinan peniaga dan pelabur terhadap prospek perniagaan dalam negara kerana ia akan membuatkan perniagaan jualan langsung dijalankan dengan lebih beretika.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yakcob berkata pihaknya juga yakin rang undang-undang itu akan dapat mengekang perlakuan salah dalam mempromosi pelan pemasaran yang menjurus kepada Skim Piramid itu daripada berleluasa.
"Seterusnya rang undang-undang ini juga akan dapat mencegah penipuan ke atas orang ramai," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Jualan Langsung (Pindaan) 2010 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini, Selasa.
Menurutnya pindaan ke atas akta itu bertujuan melindungi hak dan kepentingan pengguna, menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan aktiviti jualan langsung yang beretika dan melarang segala kegiatan berbentuk Skim Piramid dan Skim Cepat Kaya.
Keseluruhan pindaan melibatkan 32 fasal yang boleh dibahagikan kepada tiga aspek iaitu perlesenan, penguatkuasaan serta pendakwaan dan umum.
Pindaan paling utama adalah untuk meluaskan definasi 'Jualan Langsung', yang diperluas dengan merangkumi kaedah penjualan yang dijalankan melalui transaksi elektronik selain jualan pintu ke pintu dan jualan pesanan pos.
Rang undang-undang itu juga menetapkan larangan menjalankan atau mempromosi Skim Piramid, katanya.
Ismail Sabri berkata peruntukan baru Rang Undang-Undang itu juga menaikkan jumlah penalti dan penjara maksimum bagi semua kesalahan yang terdapat di dalam akta berkenaan sebagai tindakan pencegahan.
Beliau berkata bidang kuasa Mahkamah bagi membicarakan kesalahan juga diperluaskan daripada Mahkamah Majistret kepada Mahkamah Sesyen bagi membolehkan peruntukan itu dilaksanakan.
"Penalti yang pernah dikenakan terhadap pesalah di bawah Akta Jualan Langsung 1993 tidak menampakkan keberkesanannya dalam usaha mendidik serta mengubah tingkah laku," katanya.
Rang undang-undang itu antara lain mencadangkan denda antara RM10 juta atau tidak kurang RM1 juta dikenakan terhadap mana-mana syarikat atau pertubuhan yang didapati bersalah kali pertama bagi mempromosi atau menjalankan skim piramid apabila pindaan ke atas Akta itu dikuatkuasakan kelak.
Manakala denda tidak kurang RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali pula dikenakan bagi individu yang melakukan kesalahan serupa untuk kali pertama.-BERNAMA
1) Komen yang tidak berkaitan dengan artikel yang dipaparkan akan dibuang serta merta.
2) Komen yang bersifat Kutukan, Kritikan, Cacian, Mencarut akan dibuang.
3) Komen yang mengandungi SPAM akan dibuang.
4).1 Penggunaan ANONYMOUS akan dijejak melalui IP ADDRESS
4).2 Komen dari fungsi ANONYMOUS yang bersifat PROVOKSI terhadap blog ini akan dibuang serta merta.
4).3 Pertanyaan & Komen yang diberikan oleh pengguna berstatus "anonymous" kepada admin, tidak akan dilayan, sila sign in GMAIL atau hubungi kami melalui facebook.
4).4 Kami berhak memadam komen-komen yang bersifat provok keatas blog ini lebih-lebih lagi komen dari pengguna ANONYMOUS