Jangan mudah terpedaya dengan pujukan dan janji-janji manis lelaki asing bagi mengelakkan diri daripada diheret ke dalam gejala tidak sihat, demikian nasihat menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat kepada wanita Malaysia.
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata wanita Malaysia perlu berfikir panjang apabila dihampiri lelaki asing yang memberi pelbagai janji dan ganjaran sebagai umpan untuk memerangkap mereka.
"Saya juga berasa bimbang apabila terbaca mengenai peratusan kes-kes jenayah terutama yang melibatkan rakyat asing yang menggunakan wanita Malaysia sebagai mangsa (dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat).
"Saya minta wanita Malaysia jangan diperdaya. Jangan mudah dipergunakan terutama ketika mereka diajak untuk pergi ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Bestari di Tawau hari ini.
Shahrizat berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay yang mendedahkan ramai wanita muda Malaysia termasuk yang memiliki ijazah terpedaya oleh warga asing dan akhirnya terlibat dengan sindiket penghantaran dadah.
Menurut Kohilan, pada masa ini terdapat 1,565 rakyat Malaysia termasuk wanita sedang menjalani hukuman penjara di luar negara kerana pelbagai kesalahan dan di sesetengah negara bilangan wanita Malaysia menjalani hukuman melebihi kaum lelaki.
Timbalan menteri luar itu memberi contoh di Peru, daripada 15 rakyat Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara di negara itu, 12 daripadanya adalah wanita.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat mahu program mengesan mana-mana anggota masyarakat yang layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipertingkatkan di Sabah terutama di kawasan pedalaman.
Beliau berkata usaha sedemikian perlu dilakukan kerana mungkin masih ramai rakyat yang sepatutnya diberi bantuan, namun tidak menerimanya kerana maklumat mengenai masalah mereka tidak sampai kepada kerajaan.
Shahrizat berkata pemimpin masyarakat juga perlu menyebarkan maklumat yang tepat berkenaan golongan sasar JKM yang layak menerima bantuan bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai ke golongan sasar.
"Kita bukan negara kebajikan. (Penerima yang layak) ada kategori dan hadnya," katanya.
Shahrizat turut memberi jaminan kepada kira-kira 40,000 orang yang layak menerima bantuan JKM di Sabah menerima bayaran bulanan mereka mulai 1 Januari depan. BERNAMA
1) Komen yang tidak berkaitan dengan artikel yang dipaparkan akan dibuang serta merta.
2) Komen yang bersifat Kutukan, Kritikan, Cacian, Mencarut akan dibuang.
3) Komen yang mengandungi SPAM akan dibuang.
4).1 Penggunaan ANONYMOUS akan dijejak melalui IP ADDRESS
4).2 Komen dari fungsi ANONYMOUS yang bersifat PROVOKSI terhadap blog ini akan dibuang serta merta.
4).3 Pertanyaan & Komen yang diberikan oleh pengguna berstatus "anonymous" kepada admin, tidak akan dilayan, sila sign in GMAIL atau hubungi kami melalui facebook.
4).4 Kami berhak memadam komen-komen yang bersifat provok keatas blog ini lebih-lebih lagi komen dari pengguna ANONYMOUS